Tahun 2005 aku disahkan menghidap Bipolar Mood Disorder [berkait rapat dengan kemurungan]....dan hanya pada tahun ini 2010 baru aku dapat menerima hakikat penyakitku ini. Di bawah ini aku mengambil sumber dari www.saifulislam.com tentang penyakitku
PENGALAMAN SILAM
Lama sebelum itu, seorang pelajar datang ke rumah saya. Beliau mahu mencadangkan kepada saya plan latihan ketenteraan yang beliau rangka. Saya hanya mampu mengangguk. Selama 6 jam beliau bersyarah di hadapan saya. Dari isu plan ketenteraan tersebut, sampailah kepada perancangan Yahudi di sebalik animasi Pokemon dan kesukaannya terhadap Doraemon. Bercakap tidak berhenti-henti, penuh semangat, tetapi tiba-tiba menangis seketika sebelum menyambung kembali syarahannya kepada saya.
Secara jujurnya, tepat jam 4 pagi, saya sudah menjadi demam akibat ‘torture’ syarahan pelajar ini.
Semasa itu, saya hanya terfikir satu perkara. Mungkin pelajar ini dirasuk jin!
Tetapi apabila plan ketenteraannya saya berikan kepada isteri, beliau dengan segera memberikan komen, “abang, rasanya budak ni ada masalah bipolar disorder. Lengkap belaka”
Saya terdiam.
Malang sekali, pelajar tersebut gagal diselamatkan. Beliau ditahan polis kerana berkelakuan agresif di khalayak ramai. Namun saya bersyukur kerana kini kehidupannya teratur kembali. Semoga beliau terus tenang dan berusaha mematuhi nasihat-nasihat yang telah diberikan oleh pakar psikiatri kepadanya.
PERINGKAT HIPERMANIA
Hasil pembacaan buku dengan panduan isteri, serta bacaan di internet, saya dapat memahami serba sedikit tentang masalah Bipolar Disorder ini. Semasa seseorang itu berada di tahap mania, dia itu sering menunjukkan simptom-simptom berikut:
Bertenaga secara berlebihan, aktif dan menolak rehat
Mempunyai perasaan yang begitu tinggi bahawa dirinya itu ‘bagus’
Komunikasinya sungguh merimaskan dan mengganggu
Berfikir dengan laju dan ekstrim, bercakap dengan begitu pantas dan melompat dari satu idea ke satu idea. Ideanya boleh difahami tetapi tidak berkait di antara satu sama lain
Mudah terganggu dan sukar menumpukan perhatian
Tidak tidur kecuali sedikit atau tiada langsung
Mempunyai kepercayaan berlebihan secara tidak realistik terhadap kuasa dan keupayaan seseorang
Lemah dalam membuat keputusan
Berbelanja secara yang sangat boros
Kelakuan melampau yang berpanjangan lebih dari kadar yang biasa
Keinginan seks yang meningkat
Boleh terjebak ke dalam penggunaan dadah terutamanya kokain, juga minuman beralkohol serta pil tidur
Provokatif, intrusif dan sikap yang amat agresif
Sangat menafikan yang dirinya itu di pihak yang salah
Sudah beberapa orang yang jangkakan dirinya mengalami Bipolar Disorder ini menunjukkan hampir kesemua simptom itu. Tentu sahaja jika orang yang mengalami masalah ini merupakan suami, atau majikan kita, mereka akan sungguh menyeksa kehidupan kita.
MENCETUS KEHANCURAN SOSIAL
Inilah yang membimbangkan saya. Tanpa pengetahuan tentang masalah psikiatri ini, saya tidak tahu berapa banyak rumah tangga yang hancur, berapa banyak pekerja yang diberhentikan majikan, dan berapa banyak syarikat yang musnah, apabila suami di dalam rumah tangga, atau majikan di dalam sebuah syarikat, mempamerkan sikap yang sangat agresif.
Siapa yang tahan dengan manusia sebegini?
Sanggupkah isteri berdepan dengan perubahan mendadak seorang suami?
Tidakkah menderita seorang pekerja apabila majikannya mempraktikkan kesemua simptom di atas?
Andai segalanya difikirkan sebagai perubahan sikap, ia tentu menimbulkan 1001 kesulitan. Tetapi jika kesemua simptom itu ada, berkemungkinan suami anda, atau majikan anda mengalami gangguan emosi yang teruk, dan mereka wajar mendapatkan rawatan.
PERINGKAT DEPRESI (KEMURUNGAN)
Oleh kerana namanya Bipolar Disorder, pesakit juga akan terjun dari keaktifan yang amat tinggi itu kepada kemurungan yang menjatuhkan segala-galanya. Maka apabila beliau berada di situasi depresi, pesakit tersebut akan menunjukkan simptom-simptom berikut:
Kesedihan yang berpanjangan, gelisah dan perasaan yang kosong
Rasa putus harapan dan pesimis terhadap segala-galanya
Merasa bersalah, tidak berguna, dan tidak mungkin dapat dibantu
Hilang minat kepada aktiviti-aktiviti yang disukainya sebelum ini, termasuk terhadap seks
Kehilangan tenaga, lesu yang teruk dan beransur lemah
Sukar memberi tumpuan, sukar mengingati sesuatu dan sulit membuat keputusan
Tidak mahu berehat atau sentiasa rasa terganggu apabila cuba berehat
Tidur yang terlalu banyak, atau langsung tidak boleh tidur
Hilang selera makan, kehilangan berat badan
Sakit yang berpanjangan (kronik) terhadap tubuh badan yang bukan disebabkan oleh sakit fizikal atau kecederaan
Banyak berfikir tentang kematian, malah terfikir untuk membunuh diri, dan cuba melakukannya
KEPERLUAN PENDAKWAH DAN KAUNSELOR
Saya merasakan, bagi seorang pendakwah apatah lagi mereka yang sering didatangi oleh mereka yang cuba mendapatkan nasihat tentang krisis rumah tangga dan kerja, amat perlu untuk menambah pengetahuan tentang hal ini. Dengan itu kita akan terhindar daripada memberikan nasihat-nasihat yang memburukkan lagi keadaan.
Bayangkan jika seorang pekerja mengadu kepada anda tentang kelakuan majikannya yang sungguh menyakitkan, tanpa ada peduli kepada persoalan gangguan emosi dan masalah psikiatri ini, dengan mudah anda akan memberikan nasihat supaya pekerja itu mengambil tindakan undang-undang, berhenti kerja atau terus melawan atas alasan mempertahankan hak dan maruah diri.
Segala perbuatan pekerja itu yang membalas kelakuan agresif majikannya itu akan hanya menyebabkan masalah Bipolar Disorder beliau menjadi semakin teruk. Dan kita patut menjangkakan kesudahan yang terburuk, jika segala-galanya dibiarkan.
Begitu juga dengan isteri atau suami yang berdepan dengan hal ini. Sedikit sebanyak pengetahuan seperti ini akan membolehkan kita bertenang, tidak ‘ambil hati’ dan boleh menghulurkan bantuanmalah terus bersangka baik, biar pun dengan cara yang sungguh pelik!
“Bantulah saudaramu, sama ada dia itu zalim, atau dizalimi” (Al-Hadith)
Si zalim itu mungkin pesakit Bipolar Disorder.
Sumber : ABU SAIF @ www.saifulislam.com
No comments:
Post a Comment