Islamic Widget

Friday, December 30, 2011

Hakim Yang Zalim , Hakim Disanggah


Assalamu'alaikum wrt. wbt. Dear Readers,

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengendalikan kes Fitnah II melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah memutuskan bahawa terdapat kes prima facie dan Anwar perlu membela diri. Hakim Zabidin juga menyifatkan bahawa Saiful Bukhari Azlan adalah saksi berwibawa walaupun terdapat pelbagai fakta yang telah ditimbulkan oleh peguam Dato’ Seri Anwar untuk mempertikai kredibiliti Saiful. Kita semua mengharapkan Badan Kehakiman yang dapat memastikan kedaulatan undang-undang itu direalisasikan oleh sebuah kerajaan yang berteraskan undang-undang dan bukan kerajaan pemerintah. Kuasa bicara bagi menyelesaikan isu-isu dan pertikaian berkaitan undang-undang sepatutnya diberikan kepada Badan Kehakiman yang perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara berkecuali, berintegriti dan tanpa memihak ataupun dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuklah pemerintah mahupun rakyat.

Allah berfirman di dalam Surah Al Maidah ayat 8 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa-apa yang kamu lakukan.”

Seorang hakim yang berani menegakkan keadilan pada diri sendiri adalah dianggap sebagai puncak segala keberanian sebagaimana pepatah Melayu, “Tiba di dada jangan dibusungkan, tiba di mata jangan dipicingkan dan tiba di perut jangan dikempiskan”.

Mahkamah adalah suatu institusi yang menyelesaikan tuntutan di antara pihak-pihak yang bertikai. Walhasil jika tidak ada mahkamah, tidak akan wujud undang-undang dan jika tidak ada undang-undang, maka kuasa keamanan akan pudar dan mati. Analoginya, hakim adalah orang yang mengintepretasikan undang-undang sebagaimana mufti mengeluarkan fatwa di dalam Islam. Di negara-negara barat, Mahkamah dianggap sebagai benteng untuk melindungi rakyat daripada ketidakadilan pemerintah, manakala para hakim pula dianggap sebagai singa di bawah takhta dan yang menduduki takhta bukanlah Raja mahupun Eksekutif tetapi adalah undang-undang. Hakim juga bukanlah alat kepada pemerintah bahkan hakim akan bertindak sebagai pengawal supaya pemerintah tidak menyalahgunakan kuasa yang dimiliki. Sumpah seorang hakim untuk berlaku jujur dalam menjalankan hukuman di antara manusia adalah bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Al-Nisa Ayat 58 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia. (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat.”

Dalam Islam, semua pihak berkewajipan menegakkan keadilan tidak kira hakim, saksi, pihak-pihak yang bertikai tanpa pilih kasih walaupun ke atas diri sendiri atau kaum keluarga kerana kemenangan dalam perbicaraan bermakna kejayaan menegakkan keadilan dan memberikan hak kepada orang yang berhak dan bukan kemenangan untuk merebut hak daripada orang yang berhak. Allah berfirman di dalam Surah An-Nisa Ayat 135 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, bagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebbakan kamu bertimbang rasa kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada kedua-duanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng daripada keadilan. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan ataupun enggan (menjadi saksi) maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa-apa yang kamu lakukan.

Seorang hakim hendaklah bersih daripada tuduhan rasuah, bebas daripada sebarang salahlaku, tegas dalam menghadapi Pemerintah (Kuasa Eksekutif), tidak berat sebelah dan mesti menjauhi perkara-perkara yang boleh melunturkan kepercayaan orang ramai kepadanya. Hadith berikut memberikan panduan untuk berlaku adil dalam mengendalikan perbicaraan menurut Riwayat Abu Daud yang bermaksud:

Saidina Ali r.a berkata : Rasulullah SAW telah mengutus aku ke Yaman untuk menjadi Qadi. Aku pun berkata kepada Rasulullah. Ya Rasulullah, tuan mengutusku sedangkan aku masih muda dan tidak mengetahui tentang kehakiman? Rasulullah SAW berkata ‘ Sesungguhnya Allah akan memberikan hidayat-Nya kepada hati engkau dan menetapkan lidahmu. Jika datang dua orang bertikai duduk di hadapanmu, maka janganlah engkau menjatuhkan hukuman sehingga engkau mendengar (hujah dan keterangan) pihak kedua seperti engkau mendengar pihak pertama, kerana itulah yang lebih layak dilakukan agar jelas bagimu menjatuhkan hukuman. Saidina Ali r.a. berkata ‘Sejak itu aku tidak berasa sangsi dalam menjatuhkan hukuman.’

Kebebasan badan kehakiman merupakan prinsip yang sangat penting kerana sekiranya hakim-hakim ditekan dan dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu maka taakulan yang diputuskan akan menyimpang daripada keadilan.

Tun Mohamed Suffian pernah berkata:

“Kehakiman yang bebas dan berasingan dari Parlimen dan Pemerintah didiri dan ditegakkan untk menjamin keadilan sekalian rakyat di seluruh Negara. Adalah tragedi yang besar bahawa sekarang kedudukan kehakiman telah menjadi tergugat oleh kerana sesetengah wakil rakyat berpendapat bahawa mereka ‘mempunyai mandat’ membuat apa sahaja yang disukai mereka sungguhpun mereka telah dengan rasminya bersumpah akan menjaga, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan kita.”

Mengimbau kembali krisis Badan Kehakiman pada tahun 1988 berkaitan isu pemecatan Tun Salleh Abas, bekas Hakim Mahkamah Agung, Datuk George Seah, dan Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh termasuk tiga hakim Mahkamah Agung yang digantung tugasnya merupakan sejarah yang tidak akan luput dalam ingatan pengamal undang-undang dan orang awam. Kemelut yang melanda Badan Kehakiman ini pernah berlaku di England lebih kurang 300 tahun dahulu. Mengimbas kembali isu pemecatan Hakim Besar England, Sir Edward Coke kerana pertikaian Sir Edward dengan Rajanya James I yang mendakwa baginda mempunyai kuasa yang dianugerahkan oleh Tuhan untuk memperbuat undang-undang apa sahaja. Sir Edward Coke sebagai hakim yang adil membantah kerana beliau berpendapat bahawa raja adalah tertakluk kepada undang-undang dan hukum tuhan. Kuasa raja bukanlah mutlak kerana ianya dihadkan oleh undang-undang dan agama. Akhirnya Sir Edward Coke dipecat dari menjadi hakim tapi keharuman namanya dan kisah ini kekal sebagai pengajaran untuk semua terutama hakim-hakim yang akan duduk di dalam Badan Kehakiman.

Pada tahun yang sama juga, berkuatkuasa pada 10 Jun 1988, Perkara 121 (1) Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dengan mengeluarkan perkataan kuasa kehakiman atau judicial power daripada kedua-dua Mahkamah Tinggi. Kesannya kuasa kehakiman dan bidang kuasa semulajadi (inherent jurisdiction) tidak lagi diberi kepada Mahkamah-Mahkamah Tinggi dan kuasa Mahkamah hanya diberikan melalui Akta yang digubal oleh Parlimen.

Selepas 20 tahun berlalu, tarikh keramat 17 April 2008 merupakan tarikh bersejarah bagi bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd Salleh Abas, Datuk George Seah, dan bekas Hakim Mahkamah Agung Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh yang telah menerima bayaran ex gratia sebagai penghargaan kepada hakim-hakim yang terlibat dalam krisis badan kehakiman tahun 1988 walaubagaimanapun tiada sebarang permohonan maaf secara rasmi daripada kerajaan.

Kesimpulannya, kepercayaan kepada Badan Kehakiman sudah semakin pudar dengan kes Fitnah II yang melibatkan Dato’ Seri Anwar. Sekiranya Hakim Zabidin sendiri telah memperakui kewibawaan Saiful sebagai saksi yang boleh dipercayai, pada siapalah lagi yang dapat kita harapkan bagi menegakkan keadilan seperti kata-kata Tun Salleh Abas bahawa hakim itu ibarat singa di bawah takhta. Apa yang menghairankan tragedi Fitnah I dan Fitnah II ini berlaku di zaman pemerintahan Mahathir dan Najib. Tidakkah mereka takut pada kuasa Khaliq? Tidakkah mereka takut pada azab neraka yang amat pedih lagi menggerunkan? Tidakkah mereka sedia maklum bahawa dosa fitnah itu adalah besar dari dosa membunuh. Jawapannya mereka telah mencabar ayat-ayat ALLAH dan tunggulah balasannya di Akhirat kelak.

Walaubagaimanapun, saya dengan rendah hati sebagai Rakyat Malaysia yang benci pada kezaliman dan fitnah mengharapkan Hakim Zabidin akan mencipta sejarah dengan menjadi Hakim yang menegakkan keadilan persis singa di bawah takhta kerajaan pada 9 Januari 2012 (keputusan perbicaraan kes liwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim) kelak. Wahai Hakim Zabidin, takutlah pada ALLAH dan bukan pada pemerintah. Wassalam

No comments:

Post a Comment